Kisah Nabi Musa Melihat Keadilan Allah


Dikisahkan pada suatu ketika, Nabi Musa A.S bermunajat kepada Allah S.W.T. Baginda memohon, "Ya Allah, perlihatkan kepadaku keadilan-MU".

Maka Allah S.W.T menjawab permohonan Nabi Musa A.S, "Jika Aku menampakkan keadilan-KU kepadamu, engkau tak akan dapat bersabar, dan terburu-buru."

"Dengan taufik-MU, aku akan dapat bersabar menyaksikan keadilan-MU", kata Nabi Musa A.S.

Kemudian Allah S.W.T memerintahkan Nabi Musa A.S pergi ke sebuah sumber mata air. Maka, pergilah Nabi Musa A.S ke tempat itu lalu segera baginda bersembunyi di kawasan berdekatan dengannya.

Tidak lama kemudian, datanglah seorang penunggang kuda di mata air itu, lalu dia turun dari kudanya dan meminum air dari mata air itu. Setelah itu, diapun segera meninggalkan tempat itu dengan tergesa-gesa tanpa disedarinya kantung wangnya telah terjatuh.

Kemudian, datang pula seorang anak kecil meminum air dari mata air itu. Dia terlihat kantung tersebut lalu mengambilnya, kemudian diapun segera pergi meninggalkan tempat itu.

Setelah anak kecil itu pergi, datanglah pula seorang lelaki buta tua. Ia meminum air dari mata air itu, berwuduk lalu bersolat .Selesai solat, diapun duduk berehat sejenak di situ.

Tidak lama kemudian, penunggang kuda tadi kembali semula ke tempat itu. Dia mencari kantung wangnya yang telah terjatuh. Namun, tidak dijumpainya dan yang ada hanyalah sibuta tua itu.

Dia mencurigai akan lelaki tua buta itu lalu dia menuduh sibuta tua itu, "Kantung berisi wangku telah jatuh berdekatan sini. Sudah pasti engkaulah yang telah mengambilnya".

Lalu sibuta tua itupun menjawab, "Bagaimana aku dapat mengambil kantung wangmu sedangkan mataku tidak dapat melihat"

Penunggang kuda itu marah lalu dia mencabut pedangnya dan membunuh sibuta tua itu. Kemudian dia memeriksa mayat sibuta tua itu, tetapi kantung wangnya tidak ditemui. Lalu bersegeralah dia meninggalkan tempat itu.

Melihat akan kejadian itu, Nabi Musa A.S hampir hilang kesabarannya lalu dia berkata, "Ya Tuhanku, aku tidak dapat bersabar dengan kejadian ini, namun aku yakin Engkau Maha Adil. Maka jelaskanlah padaku apa sebenarnya yang telah terjadi."

Lalu Allah mengutuskan Jibril A.S kepada baginda.  Jibril A.S berkata kepada baginda, "Wahai Musa, Allah S.W.T telah berfirman : Aku mengetahui segala rahsia, dan apa pun yang tidak kamu ketahui. Adapun anak kecil yang mengambil kantung itu sebenarnya hanyalah mengambil hak miliknya. Kerana penunggang kuda tersebut adalah majikan kepada ayah anak kecil itu. Namun, ayahnya tidak dibayar atas pekerjaan yang telah dilakukannya. Dan jumlah yang harus dibayar kepada ayah anak itu adalah sama dengan jumlah wang yang ada dalam kantung tersebut. Dan adapun sibuta tua itu pula dahulunya telah membunuh ayah anak kecil itu sebelum ia buta. Maka Allah memberikannya hukuman yang setimpal atas perbuatannya itu."

WallahuAlam...

Comments

Popular posts from this blog

Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S

Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik