Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik

 
 Imam Syafie mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Oleh itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Syafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk mencari ilmu.

Setibanya di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan terlihat olehnya satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Syafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Syafie mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Syafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Syafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar.

Imam Malik bertanya kepada Imam Syafie, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”.

Jawab Imam Syafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Imam Malik pun membelek-belek tangan Imam Syafie. Beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau bertanya lagi, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja?”.

Kata Imam Syafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan tadi”.

Kemudian Imam Malik memintanya membaca semula apa yang telah dihafalnya. Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Syafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Syafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’.

WallahuAlam...

Comments

Popular posts from this blog

Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S