Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S

 
Pada suatu hari, ketika baginda sedang beribadah, datang dua orang lelaki meminta izin daripada para pengawal untuk menemui raja tetapi tidak dibenarkan kerana hari itu adalah hari khas untuk baginda beribadah. Maka, kedua lelaki tersebut masuk dengan memanjat pagar ke dalam istana kemudian bertemulah mereka dengan Nabi Daud A.S.

Nabi Daud A.S yang sedang melakukan ibadah terperanjat sebaik sahaja melihat kedua lelaki tersebut berada di hadapannya. Kemudian berkatalah kedua lelaki tersebut kepada Nabi Daud A.S sebaik sahaja melihat baginda terkejut.

"Janganlah takut, kami berdua datang ke mari untuk meminta keputusan yang adil dan benar mengenai persengketaan yang terjadi antara kami berdua."

Maka, baginda pun melayan kehendak mereka walaupun mereka datang tidak melalui prosedur yang betul dan berkata, "Terangkanlah kepadaku mengenai persoalanmu dalam keadaan yang sebenarnya."

Kemudian berkatalah salah seorang dari mereka, "Saudaraku ini memiliki 99 ekor kambing betina dan aku hanya memiliki 1 ekor sahaja. Dia menuntut dan mendesak kepadaku agar aku serahkan kambingku kepadanya yang hanya seekor itu bagi menggenapkannya menjadi 100 ekor. Dia membawakan bermacam dalil yang sukar bagiku untuk menolaknya memandangkan dia sememangnya hebat berdebat."

Nabi Daud A.S bertitah dengan sedikit marah, "Jika demikian, maka engkau telah berbuat zalim kepada saudaramu ini kerana ingin merampas hak miliknya dengan tuntutanmu itu. Aku tidak akan membiarkan engkau melakukan perbuatanmu itu atau engkau akan menghadapi hukuman pukulan pada wajah dan hidungmu. Sememangnya ramai orang yang seperti engkau berbuat zalim kecuali mereka yang benar-benar beriman dan beramal soleh."

Kemudian lelaki itu menjawab, "Wahai Daud, sebenarnya tuanlah yang patut mendapat hukuman yang engkau putuskan itu. Bukankah tuan sudah mempunyai ramai isteri. Mengapa tuan masih ingin menyunting lagi seorang gadis yang sudah lama bertunang dengan seorang pemuda yang merupakan anggota tenteramu sendiri?."

Baginda tercengang mendengar jawapan lelaki itu. Tiba-tiba lenyaplah kedua-dua lelaki tersebut. Sedarlah baginda bahawa lelaki itu adalah malaikat yang diutus oleh Allah untuk memberi teguran kepadanya. Baginda pun segera bersujud meminta keampunan Allah atas segala perbuatannya. Lalu Allah menerima dan mengampuni dosanya.

Nota : Kisah ini adalah salah satu daripada pelbagai kisah yang diriwayatkan berkaitan teguran Allah kepada Nabi Daud A.S. Imam Ibn Kathir menyifatkan kesemua kisah tersebut sebagai israiliyat

Kisah ini di dalam Al-Quran

 

Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat ( 21 ). Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka, mereka berkata kepadanya: "Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain, oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus ( 22 ). "Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku, ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja, dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ' Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ', dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu" ( 23 ). Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya, dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sedang mereka amatlah sedikit!" Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat) ( 24 ). Maka Kami ampunkan kesalahannya itu, dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak) ( 25 ).

[Sad : 21-35]

WallahuAlam...

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik