Kata Hikmah Syeikh Abdul Qadir Jailani - Tuhan Anda Berada Di...


Pada suatu hari, Syeikh Abdul Qadir Jailani telah didatangi oleh pembesar-pembesar kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secara beramai-ramai. Dia menolak tetapi pembesar-pembesar tersebut berkeras untuk mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir Jailani bersetuju untuk hadir.

Pada malam yang telah ditetapkan, di satu tempat yang terbuka, beratus-ratus orang hadir dan melakukan ibadah masing-masing. Ada yang bersolat, ada yang berwirid, ada yang membaca Quran, ada yang bermuzakarah, ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir Jailani hanya duduk di satu sudut sambil memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir Jailani untuk memberi tazkirah. Beliau cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya, dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir Jailani bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas sahaja. Dia berkata, "Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya."

Mendengar kata-kata beliau, para hadirin terkejut dan majlis menjadi gempar dan riuh rendah. Para hadirin terasa terhina dan tidak berpuas hati. Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sedemikian rupa.

Mereka sepakat melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir Jailani dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir Jailani dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, "Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa Tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?"

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir Jailani menjawab, "Benar, saya ada kata begitu."

Kadhi bertanya lagi, "Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?"

Jawab Syeikh Abdul Qadir, "Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya."

Maka kadhi itu pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir Jailani untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir Jailani seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir Jailani mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam berkenaan sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka bertuhankan dunia dimana duit satu dinar digunakan sebagai simbolnya.

Jika pada zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman sekarang. Bagaimana pula dalam kehidupan seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diingati. Sehingga ada yang sanggup mengatakan semuanya terjadi dengan sendirinya.

WallahuAlam...

Comments

Popular posts from this blog

Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S

Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik