Kisah Hasan Al-Basri Dengan Wanita Cantik

 

Hasan Al-Basri sewaktu mudanya adalah seorang yang sangat tampan. Beliau sering berjalan-jalan disekitar kota Basrah sambil memakai pakaian yang cantik-cantik.

Pada suatu hari ketika Hasan Al-Basri sedang berjalan-jalan, beliau terpandang seorang wanita yang sangat cantik dan telah menarik perhatiannya, lalu beliau mengikut belakang gadis tersebut.

Terasa dirinya diekori, wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya, "Wahai orang muda, apakah engkau tidak malu?"

"Malu pada siapa?", tanya Hasan Al-Basri.

"Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati.", balas wanita itu.

Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan Al-Basri terhadap wanita itu sehingga tidak terkawal nafsunya. Beliau terus mengikuti di belakang wanita itu.

Melihat Hasan Al-Basri terus mengikutinya, wanita itu berkata lagi kepadanya, "Mengapa engkau terus mengikuti aku?"

Lalu Hasan Al-Basri menjawab, "Sungguh, aku terpesona dengan matamu yang cantik."

Mendengar kata-kata Hasan Al-Basri itu, wanita itu pun berkata, "Tunggulah di sini, nanti akan aku berikan apa yang engkau kehendaki."

Hasan Al-Basri beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana beliau jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pembantu wanita kepadanya dengan membawa bekas yang tertutup. Ketika Hasan Al-Basri membuka tutup bekas itu, beliau terkejut kerana di dalamnya ada dua biji mata.

Kemudian pembantu tersebut berkata, "Tuanku berkata dia tidak memerlukan mata yang membawa fitnah dan mempesonakan orang."

Apabila Hasan Al-Basri mendengar kata-kata pembantu tersebut maka gementarlah seluruh tubuhnya serta berdiri bulu romanya, beliau pun memegang janggutnya lalu berkata kepada dirinya sendiri “Celaka kamu, sudah berjanggut masih tidak ada rasa malu.”

Menyedari kesilapannya, beliau pun pulang ke rumahnya dan menangis semalaman.

Pada keesokan paginya, Hasan Al-Basri ke rumah wanita itu untuk meminta maaf atas segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan terdengar suara tangisan wanita dari dalamnya. Beliau pun bertanya apa yang berlaku. Diberitahu kepadanya bahawa pemilik rumah itu telah meninggal dunia.

Hasan Al-Basri kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari. Pada malam ketiga, beliau bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga.

Hasan Al-Basri berkata kepada wanita itu dalam mimpiya, "Maafkan atas semua kesalahanku."

Wanita itu menjawab, "Sesungguhnya, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau."

Kemudian Hasan Al-Basri berkata lagi, "Berikanlah kepadaku sesuatu nasihat yang baik."

"Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah dan beristighfarlah pada setiap pagi dan petang memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepadaNya," kata wanita itu.

Hasan Al-Basri menerima dan melaksanakan nasihat tersebut sehingga beliau menjadi seorang yang masyhur dikalangan masyarakat dengan kezuhudan dan ketaatannya kepada Allah SWT. Akhirnya, beliau pun memperoleh darjat yang tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah SWT.

WallahuAlam..

Comments

Popular posts from this blog

Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S

Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik