Budak Yang Jujur Dengan Perompak



Tersebutlah sebuah kisah, seorang budak ingin berangkat ke kota Baghdad dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Dia adalah seorang yang sangat jujur dan tidak pernah berdusta. Dia mengikuti sebuah kafilah yang akan menuju ke Baghdad. Sebelum bertolak, ibunya memberi sedikit wang sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan. Ibunya menyembunyikan wang itu pada bahagian lengan baju anaknya dan dijahitnya supaya tidak diketahui orang.

Setelah siap, ibunya pun berpesan, “Hai anakku, dengarlah baik-baik pesan ibu ini. Bila kau dalam perjalanan dan berada di negeri orang, hendaklah engkau tidak berlaku khianat dan sentiasa jujur. Ketahuilah bahawa orang Islam tidak boleh berdusta. Ingatlah hai anakku akan sabda Rasulullah S.A.W. bahawa amanah itu kejayaan. Berlaku benarlah baik dalam tutur kata mahupun dalam perbuatan supaya engkau beroleh selamat dan dilindungi oleh Allah s.w.t.”

Berangkatlah dia bersama kafilah itu merentas padang pasir. Ditengah panas terik yang membakar kulit. Kelihatan Mereka bergerak perlahan. Unta-unta diikat antara satu sama lain dalam satu barisan. Jalannya pula selangkah demi selangkah meredah lautan pasir.

Nun jauh di sana, di puncak bukit pasir, sekumpulan perompak berkuda sedang mengintai-ngintai, berkata salah seorang mereka, “Nampaknya kafilah ini senang diserang hendap. Pasti ada habuan!”

Kumpulan berkuda bersenjata itu menyerbu dan mengepung kafilah tersebut. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menyerah sahaja. Mereka dipaksa menyerahkan segala harta yang dibawa.

Setiap orang digeledah hartanya. Sehingga tibalah orang terakhir, rupanya seperti seorang budak yang terbiar. Budak sepertinya pasti tidak mempunyai apa-apa, melainkan belas ihsan orang.

Ketua perompak pun bertanya kepadanya, dengan nada bersahaja, “Apa yang engkau bawa, wahai budak?!”. Orang-orang suruhannya sudah siap menghunus pedang masing-masing, agar budak itu segera menjawab.

“Empat puluh keping wang emas dinar.”

“Apa?” penyamun itu terkejut mendengarkan kata-kata tersebut kerana menyangka budak itu mahu mempersendakannya. Pada fikirannya tidak mungkin seorang budak boleh memberitahu kepada seseorang penyamun bahawa dia masih punya wang.

“Apakah engkau mahu memperolok-oloklan aku?” tanya perompak itu lagi.

 “Tidak! Sungguh tuan, saya tidak berkata dusta.” kata budak itu dengan tegas.

“Engkau, periksa bajunya!” seorang perompak memeriksa baju budak itu dan menjumpai bahagian yang dijahit oleh ibunya. Dia terkejut lalu berkata, “Tuan, dia berkata benar!”

Ketua perompak kehairanan. Lalu dia bertanya, “Hai budak, engkau tahu kami adalah perompak-perompak yang merampas harta benda. Kami adalah orang-orang yang kejam. Seluruh kafilah ini, senang-senang sahaja kami tawan. Nyawa mereka terletak pada tangan kami. Sama ada mereka kami bunuh, ataupun kami jadikan hamba abdi!”

Sambungnya lagi, “Mengapakah engkau begitu bodoh berlaku jujur? Mengapa engkau tidak menipu sahaja, agar harta dan nyawa engkau selamat?

Budak itu pun menjawab, “Tuan, saya ini penuntut ilmu. Ibu membekali saya dengan wang ini. Ia berpesan kepada saya satu sahaja.”

Ketua perompak disusuli perompak yang lain ketawa mengilai. Mereka begitu takjub akan keanehan budak itu. Kata ketua perompak, “Apakah pesan ibumu?”

Jawab kanak-kanak itu, “Bahawa ibuku berpesan, agar aku tidak berlaku khianat dan sentiasa jujur. Tuan, tidakkah tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut atau mengejar ilmu itu seperti sedang berjalan menuju ke syurga kerana sentiasa disertai oleh malaikat yang sedia menolongnya. Saya bercita-cita menjadi seorang yang beriman lagi berilmu. Apalah ertinya wang 40 keping emas pada saya ini, hingga saya terpaksa berbohong? Seorang Islam yang sejati tidak akan sesekali berbohong sekalipun dalam bahaya dan kesulitan!”

Perompak-perompak itu terdiam seribu bahasa. Bagaimanakah seorang budak berhadapan dengan sekumpulan perompak yang boleh menanggalkan kepalanya, merampas hartanya, begitu berani memegang janji kepada ibunya? Pasti budak ini seorang yang akan menjadi seorang yang luar biasa!

Akhirnya dengan bercucuran air mata kesedihan dan keinsafan, ketua perompak itu memohon maaf dari budak itu lalu bertaubat dari melakukan kerja yang mungkar lagi hina itu.

WallahuAlam...

Comments

Popular posts from this blog

Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S

Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik