Kisah Imam Ahmad Bin Hanbal Dengan Penjual Roti
Suatu ketika Imam Ahmad bin Hanbal pergi bermusafir. Apabila malam menjelma, beliau singgah disebuah masjid dalam satu perkampungan menunaikan solat isyak berjemaah di sana. Selesai solat jemaah, beliau pun merehatkan tubuhnya di masjid tersebut. Tiba-tiba, penjaga masjid datang kepadanya dan melarangnya berehat di dalam masjid.
Penjaga masjid itu tidak tahu bahawa beliau adalah Imam Ahmad, seorang ulama besar pada ketika itu. Dan Imam Ahmad juga tidak memperkenalkan dirinya kepada penjaga itu. Diusirnya Imam Ahmad lalu keluarlah beliau dari masjid itu.
Sampai sahaja beliau di luar masjid, beliau bertembung dengan seorang penjual roti yg sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Si penjual roti menegur Imam Ahmad dan mereka berbual seketika lalu penjual roti itu mengajak dan
mempelawa beliau bermalam di rumahnya tanpa dia mengetahui bahawa yang dipelawanya itu adalah Imam Ahmad bin Hanbal.
Sampai di rumahnya, si penjual roti segera menyiapkan tempat tidur untuk Imam Ahmad dan dia pun meminta diri kerana
perlu menyiapkan rotinya untuk dijual pada keesokan hari.
Imam Ahmad memerhatikan sahaja si penjual
roti itu melaksanakan pekerjaannya. Dan suatu perkara yang menarik perhatian beliau, si penjual roti tidak putus melafazkan istighfar sepanjang melakukan pekerjaannya.
Selesai si penjual roti itu menyiapkan kerjanya, Imam Ahmad pun bertanya, “Aku lihat engkau melaksanakan
pekerjaanmu sambil melafazkan istighfar tanpa henti. Sudah berapa lamakah
engkau mengamalkannya?". "Sudah sekian lama", jawab si penjual roti tersebut.
Imam Ahmad bertanya lagi, "Apakah pula hasil yang telah engkau
dapatkan?". Si penjual roti menjawab, "Hasilnya, tiada satu pun doa yang aku pohon kepada Allah melainkan
akan diperkenankan". "Hanya satu sahaja hajatku masih belum Allah perkenankan.”, tambahnya lagi.
“Apakah hajatmu yg belum diperkenankan Allah itu?” tanya Imam Ahmad lagi. Jawab si penjual roti, “Aku sangat berhajat untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”
Tersentak mendengar jawapan si penjual roti, lantas beliau bangkit sambil bertakbir lalu berkata, “Rupanya ini semua perancangan Allah. Aku diusir dari masjid sehingga ke jalanan berkat istighfarmu.”
“Apakah maksud tuan?” tanya si penjual roti dengan penuh kehairanan. “Akulah Imam Ahmad bin Hanbal yang ingin kau temui. Aku tidak dibenarkan berehat di masjid lalu diusir hanya kerana untuk datang
ke sini demi memenuhi permintaanmu.” jawab Imam Ahmad.
WallahuAlam...
Comments
Post a Comment