Kisah Sahabat Berlapar Demi Tetamunya

 
Seorang telah datang menemui Rasulullah S.A.W. dan telah menceritakan kepada Baginda tentang kesempitan dan kelaparan yang dialami olehnya. Lalu Baginda bertanya kepada para sahabat, "Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?"

Seorang Sahabat dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah S.A.W., saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."

Sahabat Ansar itu pun membawa tetamunya itu ke rumahnya dan menjelaskan kepada isterinya dengan berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah S.A.W. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita".

Kemudian isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini".

Sahabat Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan. Saya akan duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini. Dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya."

Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk anak-anak mereka menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang.

Allah Berfirman :

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
 [Al-Hashr : 9]

https://quran.com/59/9

 WallahuAlam...

Comments

Popular posts from this blog

Teguran Allah Kepada Nabi Daud A.S

Kisah Imam Syafie Dengan Imam Malik